Friday, 23 January 2015

Tips Menetapkan Harga Jualan Produk Kraf Tangan Felt

Assalamualaikum dan salam Isnin penuh luar biasa ceria.

MashaAllah, hari ini saya rasa amat bersemangat mahu berkongsi satu entri yang sudah lama benar saya ingin tulis. Boleh dikatakan kerapkali juga peti mel saya dikunjungi pertanyaan dari usahawan-usahawan baru kraftangan felt yang ingin belajar cara menetapkan harga jualan kraf mereka.

Baik, saya mulakan dahulu dengan formula asas yang biasa saya gunakan. 

Harga Kos Produk = (Kos Bahan + Kos Upah) x 2*
*Boleh juga didarab dengan 3 atau 4, bergantung kepada cara operasi bisnes anda.

Formula ini sesuai digunakan oleh usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang kraftangan felt dan bisnes itu diusahakan secara persendirian dari rumah. Bagi usahawan kraf pada skala besar, ada lagi kos-kos tersembunyi yang sepatutnya dimasukkan juga dalam pengiraan harga kos produk. Contohnya bil elektrik, sewa kedai, kos pengangkutan, kos peralatan-peralatan yang digunakan dan lain-lain.

Contoh situasi: 
Menetapkan harga sebiji rantai kunci huruf.


Kos bahan-bahan:
3 keping felt 5cm x 5cm = RM0.30
1 biji rantai kunci = RM0.30
1 biji butang = RM0.10
6 cm reben grossgrain = RM0.10
1 keping kadbod 5cm x 5cm = RM0.10
Benang = RM0.10
Jumlah kos bahan = RM1.00

Kos upah:
Katakan masa untuk menyiapkan sebiji rantai kunci ini adalah 30 minit.
Jika ada pekerja, anda membayarnya upah menjahit RM4.00 untuk 1 jam.
Jadi kos upah = RM4.00 bahagi 2 = RM2.00

Oleh itu, harga kos produk = (RM1.00 + RM2.00) x 2 = RM6.00

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perlu adanya kos upah sedangkan anda lah bos, anda lah juga pekerja yang menyelesaikan tugas menjahit. Keperluan kos upah hanya akan jelas apabila anda menerima tempahan yang banyak.

Katakan anda menerima tempahan 500 set rantai kunci. Anda boleh menyiapkannya sendiri tetapi adalah lebih bijak sekiranya anda mengupah seorang pembantu untuk turut sama menyelesaikan tempahan. Jadi kos upah itu sebenarnya adalah nilai upah yang anda akan bayar kepada pembantu tersebut.

RM6.00 untuk sebiji rantai kunci mungkin kedengaran amat mahal bagi kebanyakan dari kita rakyat Malaysia. Melihat kepada kos bahan yang cuma bernilai RM1.00 mungkin ada yang beranggapan bahawa usahawan tersebut sengaja ingin meraih untung yang tinggi sebanyak RM5.00. Mereka lupa akan kos-kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh usahawan tersebut.

Saya agak terkilan kerana produk kraftangan di Malaysia masih belum mencapai tahap yang sepatutnya ia dihargai. Sangat berbeza dengan negara luar. Jarang sekali harga produk kraftangan dipertikaikan. Mereka amat tahu menghargai seni dan menghargai masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan satu-satu jenis produk.

Didoakan entri hari ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda yang masih ragu-ragu tentang cara penetapan harga kraf hasil sentuhan unik jari-jemari anda. Usah berasa segan-segan menetapkan harga yang setanding dengan kualiti jahitan dan kualiti material kraf yang anda gunakan. Pastikan harga produk anda setimpal dengan usaha dan kualiti yang ditawarkan.

Bersamalah kita menyokong dan menghargai produk kraf tempatan! :)

======================================

Update 19 Januari 2016:

Ini baru harga kos. Rupanya 'tergantung'. Belum dikira hingga HARGA JUAL rupanya.
Jadi, berapa harga jual? Berapa nilai untung yang anda mahu? :)
Tambahkan pada persamaan di atas untuk mendapatkan harga jual.

Jika ada pelanggan yang mahu beli secara borong, adakah pengiraannya sama?

Saya tinggalkan dahulu pembaca dengan soalan.
Ada jawapannya? Ada pandangan untuk dikongsi bersama?

No comments: