Tuesday, 1 December 2020

Tutorial Keychain Nama Butang Huruf

Assalamualaikum. Hai, apa khabar?

Hari ini saya mahu kongsikan cara menjahit rantai kunci nama menggunakan material pvc dan butang-butang huruf yang comel berwarna-warni. Jika tidak ada pvc, tidak mengapa. Kita boleh juga menggunakan kain felt.

Bahan-bahan dan peralatan-peralatan yang digunakan adalah seperti gambar di bawah. Pvc, mounting board, gam UHU, gam B7000, pisau, gunting, benang, jarum, pen, pembaris, eyelet plier, plier dan butang pelbagai corak.

Untuk permulaan, kita perlu mengukur panjang pvc untuk dipotong. Seeloknya susun dahulu butang membentuk nama dan letakkan sekali eyelet di hujung butang supaya kita dapat saiz ukuran sebenar keychain nanti.

Untuk keychain dengan nama MUADZ ini, panjang pvc untuk dipotong adalah

10 cm. Sedang muat elok untuk susunan kesemua butang dan eyelet.

Lebar yang saya selalu guna untuk butang huruf ini adalah 3 cm. Jadi panjang dan lebar sekeping pvc adalah 10 cm x 3 cm. Lebar dan panjang ini boleh berubah-ubah mengikut jumlah butang yang kita gunakan.

Ukur dan tanda di sebelah bahagian belakang pvc supaya pvc tidak kelihatan comot di depan nanti. Ukur pvc untuk dua keping ya. Kemudian potong menggunakan gunting. Rotary cutter pun boleh digunakan.

Untuk bahagian tengah keychain pvc ini, saya suka alas dengan mounting board. Ia keras dan sedikit tebal. Jadi keychain kita nanti akan menjadi tegap elok. Tidak lembik meliuk-lentok.

Untuk ukuran mounting board, saya kira begini - Tolak 6 mm atau 0.6 cm dari ukuran pvc.

Saya bagi contoh kiraan ya:

Ukuran pvc = 10 cm x 3 cm
Ukuran mounting board = (10 - 0.6) cm x (3 - 0.6) cm = 9.4 cm x 2.4 cm

Mengapa perlu kecilkan sedikit saiz mounting board berbanding pvc? Saya akan beritahu dalam gambar seterusnya kemudian.

Sebelum ini saya ada beritahu yang mounting board sifatnya agak keras. Jadi saya guna pisau untuk memotong. Potong di atas cutting mat ya. Jangan potong di atas meja kayu atau sebarang buku.

Baik, ini lah dia dua keping pvc dan sekeping mounting board yang sudah dipotong. Perasan saya ada buat potongan melengkung di setiap sudut material pvc?

Ini antara strategi atau tips untuk buatkan keychain nampak kemas. Jika hujungnya berbucu, sewaktu kita jahit nanti jahitan itu akan berada di atas bucu. Nampak kurang kemas. Namun boleh saja jahit di atas bucu tajam sekiranya suka.

Boleh bayangkan macam mana?

Baik sekarang, susun butang elok-elok di atas sekeping pvc. Saya suka lekatkan sedikit gam kuat di belakang butang supaya butang boleh melekat kuat di atas pvc. Industrial strength glue (gam kuat) ini ada banyak jenis. Biasa yang mudah dijumpai, jenis gam B7000 dan F6000.

Satu lagi sebab mengapa saya gamkan dahulu butang, supaya memudahkan proses menjahit butang itu sendiri. Butang-butang seeloknya kita jahit juga, bukan sekadar lekatkan dengan gam sahaja. Mana lah tahu, tiba-tiba butang tercabut. Sekurang-kurangnya butang masih tergantung pada benang di keychain.

Bagi sesiapa yang tidak mahu menggunakan gam kuat, wajib jahit ya butang. Jika sekadar guna gam UHU atau gam tembak, bahaya. Bila-bila masa sahaja butang boleh tercabut dengan mudah. Ini berdasarkan pengalaman saya menggunakan sendiri keychain.

Setelah selesai melekatkan butang, mudah lah kita menjahit di setiap lubang butang. Mahu guna benang berapa lapis? Itu terpulang. Lagi banyak lapis, biasanya lagi kuat dan lagi lama butang tersebut melekat kekal di keychain.

Apabila selesai menjahit butang huruf, boleh lah kita mula menyusun pvc dan mounting board seperti lapisan sandwich. Mounting board berada di tengah-tengah lapisan pvc.

Saiz mounting board memang lebih kecil berbanding pvc. Supaya ada ruang untuk kita cantum dan jahit sekeliling pvc. Jarum tidak boleh menembusi mounting board yang keras. Jadi kita perlu lebihkan saiz pvc.

Untuk lekatkan lapisan pvc bersama mounting board, boleh sahaja menggunakan gam UHU atau gam tembak. Asal ia melekat dan memudahkan kita untuk jahit kemasan sekeliling nanti.

Baiklah. Ini namanya eyelet dan eyelet plier. Saya mahu kongsikan juga cara menggunakan eyelet plier.

Pilihan lain jika tidak ada alat ini, boleh gunakan reben dan key ring. Menjadi juga keychain kita nanti.

Eyelet plier mempunyai dua bahagian. Satu bahagian untuk menebuk lubang. Satu bahagian lagi untuk menekan eyelet.

Jadi ini gambar bahagian untuk menebuk lubang. Ia boleh digunakan untuk menebuk merentasi lapisan pvc dan mounting board tadi.

Alhamdulillah siap menebuk lubangnya. Dalam gambar di bawah, boleh nampak jelas ada dua bahagian dengan fungsi berbeza pada plier ini.

Masukkan eyelet ke dalam lubang di pvc. Eyelet boleh didapati dalam pelbagai warna dan pelbagai saiz. Saya gemar menggunakan standard size, warna perak. Mudah. Boleh suai padan dengan apa-apa warna tapak keychain.

Langkah seterusnya memerlukan tenaga tinggi. Tekan dan rapatkan eyelet pada tapak keychain. Kemudian tekan eyelet plier sekuat hati supaya eyelet melekat ketat pada tapak keychain.

Alhamdulillah sudah melekat kuat eyelet pada keychain.

Beralih pula kita ke proses menjahit. Saya gemar menggunakan jahitan insang pari sebagai jahitan kemasan di sekeliling keychain. Mahu mula jahit dari kiri atau kanan, terpulang ikut mana yang kita lebih selesa.

Jahitkan sekeliling tapak keychain hingga selesai. Usahakan fokus waktu menjahit supaya dapat hasil yang kemas dan memuaskan hati.

Ramai yang bertanya tips supaya jahitan kemas. Jawapan saya, usahakan berlatih. Semakin kerap berlatih menjahit, insyaAllah boleh dapat hasil seperti kita mahukan.

Perhatikan di setiap hujung keychain. Lebih mudah untuk dijahit jika bentuknya melengkung berbanding bersegi tajam.

Setelah selesai jahit sekeliling tapak, boleh lah pasangkan rantai kunci pada bahagian lubang eyelet tadi.

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Siap keychain nama daripada material pvc dan menggunakan butang huruf.

Tutorial ini mungkin kelihatan panjang dan rumit jika dibaca pertama kali. Namun nanti bila sudah berulang kali berlatih menjahit dan sudah cekap, insyaAllah mudah saja.



Jika anda mahu menggunakan kain felt sebagai tapak keychain, boleh dapatkannya daripada kami di Shopee Amal Creative. Boleh juga whatsapp kami di 0109034560. Kami ada lebih 30 warna polyester felt (felt keras) dengan ketebalan 1.0-1.2mm. Kain felt berkualiti tinggi insyaAllah.

Terima kasih mengikuti tutorial keychain nama pvc menggunakan butang huruf daripada Amal Creative. Sekiranya perkongsian ini bermanfaat, boleh kongsikan link tutorial ini di media sosial anda supaya lebih ramai yang boleh mendapat manfaat.

Sebarang pertanyaan, boleh komen ya. InsyaAllah kami usaha bantu. :)

No comments: