Sunday, 2 January 2022

Tentang Saya

Assalamualaikum dan hello semua.

Sempena saya mengemaskini dan kembali menulis di blog ini, ingin saya perkenalkan sedikit sebanyak latar belakang saya dalam dunia kraf. Jadi, jom taaruf siapa di sebalik pengurusan Amal Creative. :)

بسم الله الرحمن الرحيم

Boleh panggil nama saya Amal atau Kak Amal. Berasal dari Alor Setar, Kedah. Mama kepada empat orang cahaya mata. Pernah menjadi wanita bekerjaya di pejabat dan di makmal. Namun kini lebih selesa bekerja sendiri dari rumah. Saya percaya rumah adalah lapangan paling kondusif bagi seseorang yang telah bergelar isteri dan ibu. Oleh itu saya perlu berusaha kembali berada di rumah.

Sejak sekolah rendah hingga ke peringkat menengah, saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang Sains. Bahkan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang penyelidik dalam bidang kajian tumbuhan herba. Saya melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains di institut pengajian tinggi awam di sekitar Lembah Klang. Kemudian sempat bekerja selama beberapa tahun di institut penyelidikan perubatan dan institut pendidikan tinggi tempatan.

Sewaktu hamil anak sulung, minat dan kecenderungan saya perlahan-lahan mulai berubah. Pada mulanya saya hanya mengidam mahu menjahit. Daripada sekadar suka-suka, saya mula konsisten menerima tempahan yang sungguh menggalakkan daripada rakan-rakan. Untuk rekod, saya asalnya bukanlah seorang yang minat dan mahir menjahit. Sungguh perancangan dan aturan Allah melebihi pengetahuan hambaNya.

Menyedari wujudnya potensi untuk saya kembangkan lagi kemahiran ini, saya mula berazam dan merancang mahu menjadikan jahitan kraf felt sebagai sumber menjana pendapatan dari rumah. Saya masih perlu bekerja untuk menyelesaikan beberapa urusan. Segala idea yang terlintas dan petunjuk ini semuanya datang daripada pertolongan Allah jua. Alhamdulillah sejak 2011 hingga sekarang, saya masih kekal menjalankan perniagaan kraf felt.

Bermula dengan hanya mengambil tempahan pelanggan, saya menambah nilai dan menaik taraf Amal Creative dengan berusaha menjadi pembekal material berkaitan kraf felt pula. Selain itu, saya pernah beberapa kali menganjurkan bengkel jahitan kraf felt di rumah dan di ruang kedai jahit rakan niaga. Semua aktiviti yang dirancang, berlangsung atas keizinan daripada Allah.

Apa matlamat kewujudan blog Amal Creative? Blog ini adalah medium perkongsian aktiviti-aktiviti seharian berkaitan perniagaan kraf felt yang saya uruskan. Juga di sini saya ingin berkongsi teknik-teknik jahitan asas, tips-tips kraf felt dan tutorial projek kraf felt ringkas yang mudah untuk diikuti. Selain itu, saya mahu berkongsi jenis-jenis kraf yang lain seperti kraf menggunakan butang, popsicle sticks, plat kayu, pvc sheets dan resin.

Besar harapan saya, blog Amal Creative ini akan menjadi rujukan buat anda yang mahu mula menjahit sendiri kraf felt atau menghasilkan apa-apa jenis kraf mudah. Sama ada sebagai hobi atau untuk menjana pendapatan sampingan hanya dari rumah. Saya juga berharap agar guru-guru sekolah juga dapat mengambil idea untuk sesi pembelajaran dan aktiviti kraf tangan di sekolah melalui blog ini. InsyaAllah. Semoga niat dan segala urusan kita semua sentiasa dirahmati dan di bawah bimbingan Allah.

Segala yang baik semuanya daripada Allah,
setiap yang buruk adalah daripada kelemahan diri saya sendiri.

Selamat membaca dan selamat berkarya! :)


Amal Aizad
Bandar Baru Bangi

Dikemaskini: 1 Januari 2022

No comments: